Archive for September, 2007

Puisi Melayu Tradisi

Posted in Puisi Klasik on September 28th, 2007 by bayan

Buku-buku mengenai puisi Melayu tradisi amat kurang di pasaran. Jika zaman dahulu, teknologi percetakan amat terhad. Setiap buku yang dihasilkan adalah menggunakan tulisan tangan. Puisi Melayu tradisi disampaikan melalui lisan dari mulut ke mulut. Peralihan zaman menyaksikan teknologi percetakan dan penerbitan begitu maju. namun, bahan-bahan yang memperkaya khazanah Melayu ini semakin pupus kerana :

  • Orang-orang lama yang mahir berpantun seloka telah meninggal dunia dan membawa khazanah warisan itu bersama tanpa sempat menurunkan kepada generasi mudanya.
  • Penurunan warisan menggunakan kaedah lisan sebegini tidak efektif untuk dibukukan sesegera yang boleh kerana lisan boleh mengubah sesuatu pantun mengikut peredaran zaman dan juda tidak semua orang boleh mengingati apa yang telah diperkatakan secara spontan itu.
  • Jika di bukukan, tidak ramai yang akan membacanya akibat pemilihan kata yang semakin tidak diminati dan tidak relevan dengan keadaan semasa, walaupun nilai puisi lama ini sangat besar sumbangannya ke arah pembangunan masyarakat.

Sebetulnya, puisi tradisi merupakan warisan leluhur kita, yang lahir dari daya kreatif, berdasarkan pengalaman, pemikiran dan tanggapan orang tua-tua.

moonpsd.jpg

Puisi yang beraneka ragam ini tercipta melalui adunan suasana masyarakat dan dilatari kekayaan lam semula jadi. Puisi Melayu Tradisi terdiri daripada :

Struktur Terikat :

  1. Pantun → Pantun kanak-kanak, jenaka, kiasan, nasihat, agama, kasih sayang dan sebagainya. Mempunyai kerat tertentu seperti pantun dua kerat, empat, enam, lapan, sepuluh, dua belas dan pantun enam belas kerat, pantun tiga puluh serta pantun berkait.
  2. Syair → Juga dikenali sebagai ruba’i (dalam puisi Hamzah Fansuri). Terdiri daripada jenis syair sejarah, syair roman, syair simbolik, syair agama, nasihat dan syir teka-teki.

Struktur Bebas ; Bahasa berirama :

  1. Gurindam → Memberi pengajaran kepada masyarkat
  2. Seloka → Mempunyai unsur-unsur jenaka atau gurau senda, (boleh memasukkan unsur-unsur pantun, bidalan atau pepatah)
  3. Teromba → Biasanya menceritakan tentang perbilangan adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Menyisipkan pantun, gurindam, peribahasa dalam seuntai teromba.
  4. Rejang → Isi kandungannya berkaitan dengan ramalan bintang (astrologi). Pandangan tentang nasib baik atau buruk ini dikaitkan dengaan perkiraan waktu. Tidak ramai yang tahu tentang rejang kecuali alim ulamak yang menggunakannya sebagai alat untuk menyampaikan ajaran mereka.
  5. Mantera → Juga dikenali sebagai jampi, serapah, sembur, puja, cuca, seru, kemat dan lain-lain. Isinya merujuk hal-hal magis, perubatan dan perbomohan.

Puisi saduran Arab-Parsi :

  1. Bayt → sama sepeti syair
  2. Nazam → dikaitkan dengan lagu atau zikir. Isinya lebih kepada hal ajaran agama. Penyampaiannya selalu dalam bentuk lagu atau nasyid.
  3. Rubai
  4. Kit’ah
  5. Masnawi
  6. Ghazal

Rujukan : Puisi Melayu Tradisi, Mohd Yusof Md. Nor dan dr. Abdul Rahman Kaeh, Penerbitan fajar Bakti, 1985.

Sign Up Advertlets

Istilah-Istilah dalam Blog

Posted in Leksikografi on September 27th, 2007 by bayan

Istilah-istilah yang digunakan dalam blog ini adalah diambil dari istilah kesusasteraan Melayu. Sebahagiannya adalah pinjaman bahasa asing.

  • Resensi [recension (I) ; recensio (L)]

→ Perbincangan dan penilaian kritis yang ringkas mengenai sesebuah karya, peristiwa atau keadaan.

  • Klasik [classic/classical (I) ; classicus (L)]

→ Karya sastera yang diperakui oleh dunia sebagai memiliki mutu atau nilai yang tinggi dan kekal. Hikayat Hang Tuah adalah sebuah klasik bagi kesusasteraan Melayu, Hamlet bagi kesusasteraan Inggeris dan The Scarlet Letter bagi Kesusasteraan Amerika.

→ Serius dan abadi nilainya. Mutunya tinggi dan menjadi standard bagi yang lain

→ Pakaian, rekabentuk dan sebagainya yang mempunyai gaya yang sederhana daan tersendiri dan tidak berubah mengikut masa. Mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat yang lazim (tipikal)

  • Estetika [aesthetic (I) ; aisthêtikos (Y)

→ Kajian atau sains tentang keindahan dalam sastera atau seni lainnya. Pendekatan falsafah cuba membalas tentang ciri-ciri seni dan keindahan, hubungannya dengan kebenaran dan kebaikan secara akaliah. Pendekatan psikologi pula menekankan kajian tentang proseskreatif para seniman dan apresiasi (penghargaan/pengiktirafan) dari pihak penghayat atau peminat seni.

  • Paradigme [paradigm (I) ; paradeigma (Y)]

→ Contoh atau pola ; dalam kesuasteraan ia bermaksud model, sesuatu yang umum atau unggul (ideal)

→ Daftar atau kumpulan lengkapbentuk terbitan sesuatu perkataan ; contoh atau model yang jelas tentang sesuatu ; lingkungan atau batasan pemikiran seseorang atau sesebuah organisasi pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan kesedaran yang ada; anjakan paradigme -peralihan paradigma daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru (biasanya kepada sesuatu yang lebih baik)

*Archives saya tukarkan kepada paradigme sesuai dengan maknanya iaitu sesuatu yang umum dan unggul saya himpunkan dalam archives.

  • Stema [stema codicum (L)

→ Gambarajah asal usul sesebuah naskah, karya atau terbitan.

  • Gitapuja [hymn (I); humnos (Y)]

→ Berasal dari bahasa Greek, humnos, bermaksud nyanyian memuji pahlawan atau tuhan. Kini ia diertikan sebagai sajak lirik yang dinyanyikan untuk memuji tuhan atau pahlawan bangsa atau cita-cita.

  • Verso [I;L]

→ Halaman seebuah buku yang di sebelah kiri atau halaman belakang lembaran naskhah.

  • Epitasis (Y)

→ Istilah yang digunakan oleh orang dahulukala (Yunani khususnya) untuk menunjukkan aksi menaik dalam urutan plot sesuatu drama.

  • Weltanschauung (Jm)

→ Tanggapan terhadap dunia dan peristiwa, aiiatu tanggapan yang melihat semuanya itu dari satu sistem falsafah dengan tujuan untuk memperjelaskan tujuan dan maknanya. Atau dalam pengertian yang lebih terbatas, sikap atau pandangan hidup.

  • Monolog [monologue (I dan P)]

→ Berasal dari bahasa Yunani, bermaksud satu perkataan atau satu percakapan. Monolog pada mulanya beerti satu percakapan atau dialog oleh seorang manusia. dalam kesusasteraan, monolog bermaksud percakapan panjang yang ditutrkan oleh seorang watak sahaja, sama ada ditujukan buat dirinya sendiri atau kepada pendengar atau pembacanya.

* simbol
I - bahasa Inggeris
Jm - Bahasa Jerman
L - Bahasa Latin
P - Bahasa Perancis
Y - Bahasa Yunani

Rujukan : Kamus Dewan dan Glosari Mini Kesusasteraan

Itulah Sayang - P.Ramlee dan Normadiah

Posted in lagu klasik on September 26th, 2007 by bayan

ITULAH SAYANG

nyanyian P. Ramlee & Normadiah

pramlee.jpg normadiah.jpg

 

Tanya sama hati
Apa asal sayang
Adakah tandanya nampak dipandang
Kumbang rayu bunga
Bulan dan bintangnya
Punya tanda-tanda hubungan mesra

Tanya sama hati
Pernahkah merindu
Ingat masa lena apa mimpimu
Masa berjauhan
Apa nan dikenang
Bila difahamkan itulah sayang

Jikalau tidak kerana sayang
Kuntuman kasih tak mungkin kembang
Andainya jemu mengganti rindu
Jambangan mesra tentulah layu

Tanya sama hati
Apa asal sayang
Adakah tandanya nampak dipandang
Kumbang rayu bunga
Bulan dan bintangnya
Punya tanda-tanda hubungan mesra

* dari filem Anakku Sazali

Lesung Mencari Alu (Antan)

Posted in Peribahasa on September 26th, 2007 by bayan

Lesung mencari alu (antan) → perempuan mencari lelaki.

Peribahasa ini memberi makna seeorang wanita atau perempuan yang mencari pasangan atau ‘mengejar-ngejar’ seorang lelaki. Pada zaman dahulu perbuatan ini memalukan dan janggal dalam masyarakat. Perempuan seperti ini dianggap tidak mempunyai nilai ‘malu’ dan dilabel sebagai perempuan ‘tidak baik’.

Namun, pada zaman sekarang, perbuatan ‘lesung mencari alu’ sudah dianggap biasa dan tidak memalukan. Jodoh bukan sahaja boleh dicari oleh lelaki tetapi perempuan juga berhak mencari jodohnya sendiri dengan memilih lelaki yang diingini. Malahan, pada zaman nabi, Siti Khatijah yang merisik dan meminang nabi Muhammad s.a.w.

Walau bagaimanapun, jika diteliti, mengapa orang-orang lama mencipta peribahasa begini? Tujuannya adalah untuk memelihara maruah dan diri kaum wanita yang harus mempunyai nilai ‘malu’ yang tinggi sesuai dengan penciptaan wanita yang lemah lembut.Wanita yang terpelihara dengan sifat ‘malu’ akan mendidik jiwa menjadi wanita yang tahu menjaga maruah diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tidak ada salahnya jika kita menggunakan peribahasa lama ini sebagai pendinding untuk memelihara diri dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah kita sendiri.

Lesung Batu

Posted in Alatan klasik on September 26th, 2007 by bayan

lesung-batu1.jpg

Lesung batu merupakan lesung yang diperbuat daripada batu yang sering digunakan pada suatu masa dahulu bagi menumbuk ramuan untuk memasak. Ia merupakan satu kemestian bagi setiap rumah untuk memilikinya, dan sering kali digunakan bagi menumbuk antara lain, sambal belacan.

Penggunaannya mudah, cepat dan tidak memerlukan kuasa eletrik. Ia juga boleh dijadikan senjata.

Lesung batu diperbuat daripada batu tunggal (monolith). Ia digunakan untuk menumbuk atau menghancurkan bahan dalam kuantiti yang sedikit seperti cili, rempah, kacang, kerisik dan bahan tumis yang lain.Nama lain bagi lesung ialah lumpang.

  • Lesung batu : lesung yang diperbuat daripada batu tunggal (monolith)
  • Lesung hindik : Lesung yang menggunakan tenaga kaki untuk menggerakkannya. Ia diperbuat daripada kayu.

lesung-hindik.jpg lesung-hindik-1.jpg

 

  • Lesung kisaran : Sejenis perkakas untuk mengisar padi.

batu-kisar4.JPG

Batu kisar diperbuat daripada batu granit dan terdiri daripada dua komponen iaitu ibu dan anak. Bahagian anak mempunyai lubang untuk mengisi bahan kisar dan kayu pemegang untuk mengisar. Bahagian ibu pula mempunyai alur dan muncung untuk mengalirkan cecair kisaran. Batu kisar biasanya digunakan untuk mengisar bahan-bahan seperti beras, pulut, kacang hijau dan sebagainya bagi menghasilkan cecair tepung untuk membuat kuih-muih. Ianya juga digunakan dalam bidang perubatan bagi mengisar ramuan untuk ubat-ubatan tradisional.

Sebelum dikisar, bahan yang hendak dikisar perlulah dibasuh bersih dan direndam semalaman untuk melembutkannya dan memudahkan untuk dikisar. Bahan yang hendak dikisar hendaklah diletakkan sesudu demi sesudu kedalam lubang yang terdapat pada anak kisar. Masukkan juga 2-3 sudu air untuk memudahkan kisaran. Jika tidak, hasil kisaran akan menjadi kasar dan kuih yang akan dihasilkan agak tidak cantik. Bahagian muncung yang terdapat pada ibu kisar hendaklah ditadah dengan besen. Ini kerana hasil kisaran akan keluar melalui muncung yang terdapat pada ibu kisar. Proses ini dilakukan sehingga selesai. Hasil kisaran seterusnya bolehlah digunakan untuk membuat kuih kacau seperti kuih lompat tikam, cendol dan lain-lain. Jika ingin membuat kuih seperti puteri mandi dan onde-onde buah melaka, hasil kisaran tadi hendaklah ditapis menggunakan kain. Ini bertujuan untuk membuang air yang terdapat dalam hasil kisaran.

  • Lesung pengemping :Lesung untuk menumbuk emping dengan menggunakan tenaga tangan.

lesung-kayu_menumbuk1.jpg

Lesung tangan diperbuat daripada kayu. Ia terdiri dari dua peralatan yang berbeza iaitu lesung yang ditengah-tengahnya lompang dan mempunyai penumbuk yang diperbuat daripada kayu dikenali sebagai antan atau alu. Alu ialah sebatang kayu bulat berukuran garis pusat kira-kira 8-10 sentimeter dengan ketinggian lebih kurang 150 sentimeter. Dibahagian tengahnya iaitu tempat memegang berukuran 6 sentimeter. Lesung ini biasanya digunakan untuk menumbuk padi dijadikan beras, beras untuk dijadikan tepung, padi pulut dan buah belinjau untuk dijadikan emping dan juga menbuat gula pasir untuk dijadikan gula halus. Ianya boleh ditumbuk secara bersendirian, berdua atau bertiga.

Terdiri dari dua komponen yang dibuat dari logam berbentuk silinder dan berlubang ditengah dari hujung hingga kepangkalnya ibu gobek. Dibahagian hujungnya disumbatkan dengan kayu yang sama besar dengan saiz lubang tersebut.

Manakala komponen yang satu lagi dipanggil anak, saiz yang lebih kecil terdiri dari besi padu dan dibahagian hujungnya seperti mata kapak serta mempunyai hulu dibahagian pangkalnya.

g.gobek.1-2.jpg (38041 bytes)Gobek

Pada sesetengah gobek ianya diukir dengan berbagai corak yang menarik sesuai mengikut kebudayaan bangsa tersebut, samada dibahagian ibu atau hulu anak.

Ia berperanan seperti antan dan lesung. Seulas piak sirih akan disumbatkan kedalamnya dan ditujah-tujah sehingga lumat, setelah selesai, kayu dibahagian hujungnya akan ditolak dengan anak kepangkal membolehkan piak yang lumat keluar dan sedia untuk dimakan.

Nenek tua yang sudah tidak mempunyai gigi akan berdamping rapat dengan gobek bagi membolehkannya menghilangkan ketagihan makan sirih.

Menumbuk bahan makanan menggunakan lesung batu menghasilkan rasa yang berbeza dan asli daripada menggunakan pengisar eletrik. Namun, kekangan masa membuatkan generasi muda sekarang mengambil langkat mudah dan menjimatkan masa dengan menggunakan pengisar letrik.

Rujukan :

Kamus Kecil

Posted in perkataan on September 25th, 2007 by bayan

Kamus kecil ini saya labelkan sebagai LEKSIKOGRAFI.

Untuk permulaan, saya akan perkenalkan istilah-istilah yang digunakan dalam blog ini:

  1. Leksikografi : Cara atau seni menulis kamus atau perbendaharaan kata. [GMK : Hashim Awang, 1987].
  2. Leksikologi juga merupakan kajian tentang makna dan penggunaan perkataan. [KD]
  3. Leksikografi pula merujuk kepada proses atau profesion menyusun kamus/perkamusan.
  4. Leksikal ialah istilah linguistik berkenaan perkataan atau perbendaharaan kata sesuatu bahasa.

Oleh itu, saya namakan kategori ini sebagai leksikografi kerana ia memuatkan istilah-istilah sastera yang masih digunakan ataupun sudah tidak digunakan lagi.

*GMK : Glosari Mini Kesusasteraan, oleh Hashim Awang, Penerbitan Fajar Bakti, 1987.

*KD : Kamus Dewan Edisi Ketiga, DBP, 1998.

SEBUAH PROLEGOMENA

Posted in umum on September 25th, 2007 by bayan

Selamat sejahtera kepada semua pembaca yang berkunjung ke blog ini.

Prolegomena ialah istilah sastera yang membawa maksud pendahuluan atau pengenalan.

Jangan terkejut atau pelik dengan perkataan-perkataan yang saya gunakan dalam blog ini. Ia cuma perkataan biasa yang kita akan jumpa hari-hari. Bezanya saya gunakan situasi biasa itu dengan istilah kesusasteraan. Kesusasteraan ini pula bukan hanya merangkumi sastera Melayu, tetapi saya akan cuba kumpulkan karya-karya atau himpunan estetika yang wujud di dunia ini.

Blog ini akan cuba merungkai, menghimpun, melihat, mentafsir dan seterusnya mengekalkan warisan klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri. Ia juga sebagai wadah untuk menurunkan warisan klasik yang tiada tara nilainya kepaga generasi muda agar ‘yang lama tidak dibuang, yang baru terus disemat’.

Himpunan yang dimaksudkan termasuklah puisi lama dan baru, gurindam, syair, pantun, seloka, pepatah-petitih, petua orang lama, perkataan-perkataan lama (leksikografi), lirik dan lagu-lagu klasik dan banyak lagi.

SEMOGA TERHIBUR dan mendapat manfaat dari blog ini.