Archive for January, 2008

Pantun Berdukacita

Posted in Pantun on January 8th, 2008 by bayan

Lurus jalan ke Payakumbuh,
Kayu jati bertimbal jalan;
Di mana hati takkan rusuh,
Ibu mati bapa berjalan.

Anak merbah terlompat-lompat,
Anak andung ketitiran;
Yang dialah tiada dapat,
Yang dikendong keciciran.

Tudung nasiku rotan beranyam,
Tidak rotan bilah patahkan;
Untung bondaku sebagai ayam,
Tidak mengekas tidaklah makan.

Besar buahnya pisang batu,
Jatuh melayang selaranya;
Saya ini anak piatu,
Sanak saudara tidak punya.

Rakit ditetas dengan kapak,
Hanyutkan dari Pulau Kukus;
Sakitnya saya tiada berbapa,
Apa kehendak tidak lulus.

Tanamlah bayam sambil duduk,
Tanam di dekat pinggir paya;
Lihatlah ayam tidak berinduk,
Begitu macam untung saya.

Merpati terbang ke jalan,
Ikan belanak makan dikerang;
Bonda mati bapa berjalan,
Melarat anak tinggal seorang.

Buah mangga di Tanah Sirah,
Masak sedikit bawakan bakul;
Bapa saya sangat pemarah,
Salah sedikit suka memukul.

sumber : Puisi Melayu Tradisi, Mohd. Yusof Md. Nor dan Dr. Abdul Rahman Kaeh. fajar Bakti, 1985.

Sign Up Advertlets

Bahasa Berirama : Runs

Posted in Bahasa Berirama on January 3rd, 2008 by bayan

Yang capik datang bertongkat,
Yang buta meraba-raba,
Yang tuli leka bertanya,
Yang kecil terambin lintang,
Yang jarak tolak-tolakan,
Yang pendek tinjau-meninjau,
yang kurap mengekor angin.

Masing-masing dengan gunanya :

Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta penghembus lesung,
Yang lumpuh penghalau ayam,
Yang pekung penjemuran,
Yang kurap pemikul tabuh.

Bahasa berirama jenis runs ini digunakan dalam hikayat lama untuk menggambarkan kesetian rakyat kepada raja atau pemerintah. Selain itu, ia juga menggambarkan bahawa setiap individu dalam masyarakat mempunyai peranan masing-masing mengikut keupayaan dan kemampuan. Nilai gotong royong dan muafakat juga boleh dilihat apabila setiap individu melakukan tuga yang satu itu bersama-sama.

dipetik : Hikayat Awang Sulung Merah Muda