Tersurat dan Tersirat
Agak sukar membongkar pantang larang, petua dan perlakuan masyarakat silam yang penuh dengan nilai, adat, budaya dan agama. Mereka, dengan nilai sopan santun, halus budi bahasa serta menjadikan beberapa perkara sebagai taboo dalam masyarakat bukan untuk menyusahkan masarakatnya tetapi semata-mata mahu memelihara keharmonian, kesejahteraan dan memelihara adat dan budaya yang melingkari hidup mereka.
Terlebih lagi soal agama yang harus dijaga sebaiknya. Banyak perlakuan dan tutur kata mereka mengandungi maksud yang tersirat. Apa yang tersurat tidak dapat ditafsir secara hafriah. Ia perlu dikupas dengan jiwa yang bersih, minda yang murni serta akal yang bijak.
Percayalah, cara mereka yang kadangkala kita anggap kolot dan ketinggalan zaman itulah yang terlebih baik dalam memelihara keharmonian masyarakatnya. Salah satu nilai yang orang lupakan ialah nilai cincin di jari manis.
Saya pernah mengandaikan bahawa cincin di jari manis bukan apa-apa. Cincin di jari manis bukan lagi melambangkan si gadis sudah berpunya atau belum. Cincin di jari manis tidak lagi menandakan bahawa gadis itu jtidak boleh dikacau kerana dia milik orang.
Sebenarnya nilai cincin di jari manis sudah tiada. Dengan anggapan bahawa nilai kesetiaan bukan terletak di jari manis tetapi dihati. Namun, kita lupa, dengan perbuatan luaran boleh mengikat rasa dalaman. Ya, dengan perbuatan memakai cincin di jari manis menandakan kita menghargai ikatan itu. Ikatan yang tak mungkin boleh digugah dengan mudah. Kerana itu disyaratkan cincin dipakai dijari manis. Dan bukan jari yang lain-lain seperti yang saya dakwa kononnya tetap beri makna yang sama iaitu kesetiaan.
Saya silap. Tersuratnya cincin di jari manis punya makna yang tersirat. Dari sudut budaya dan adat, ia melambangkan kamu sudah berpunya dan perlu kesetiaan dan kebahagiaan untuk melihat kemanisan cincin di jari manis itu.
Tidak tersangkakan nilainya turut wujud dari aspek logik dan nilai kebesaran maha Pencipta.
Saya semakin mengerti. Membuang adat dan budaya lama yang kadangkala menjadi pantang larang dan kelaziman dalam perlakuan masarakat lama, hanya suatu perbuatan yang akhirnya membunuh nilai bangsa sendiri. Sayangilah pantang larang dan petua orang lama. Tidak rugi!
Tags: adat, budaya, cincin di jari manis, kesetiaan, nilai masyarakat lama, pantang larang