Archive for October, 2008

Malang Pak Kaduk

Posted in seloka on October 31st, 2008 by bayan

Ayuhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awang pulang kebuluran,
Ada isteri di bunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.

Tags:

Pantun Kiasan [sambungan]

Posted in Pantun on October 17th, 2008 by bayan

Raut bilah pembatang taut,
Kail berada dalam raga;
Tidak sudah seluang melaut,
Akhirnya balik ke tepi juga.

Sangkut terendak dekat beranda,
Orang papua anyam tak sudah;
Jika tiada ada berita,
Masakan tempua bersarang rendah.

Bunga geti bergulai temenung,
Di hari raya memakan tapai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.

Suasa bertahil emas berbungkal,
Tetapi intan tiada sesaga;
Kalau kail panjang sejengkal,
Usah lautan hendak diduga.

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

Hari hujan puyuh mendengut,
Mendengut mari sepanjang jalan;
Air dalam kapar tak hanyut,
Kononlah pula kemarau panjang.

Berilah saya pisau raut,
Hendak meraut bingkai tudung;
Gila apakah ikan di laut,
Mengidamkan umpan di kaki gunung.

Laksana gadis Menteri Bogor,
Bijak membilang ayam betina;
Nyawa menangis di pintu kubur,
Hendaak pulang ke dalam dunia.

Hilir berderap mudik berderap,
Patah galah di dalam perahu;
Sungguh laksana bunga dedap,
Cantik merah tidak berbau.

Rujukan : Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti, 1985.

29 Oktober - 1 November 2008, 9 pagi hingga 5 petang.
Sekolah Alam Shah, Cheras ; Sekolah Menengah Sains Selangor ; Sekolah Menengah Teknik, Cheras ; Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras.

PESTA PANTUN SIRIH BERLIPAT, PINANG BERKACIP (IPG 2008) - Saringan - separuh akhir.
Hubungi : Norimah Bajuri (03-21481232)

Tags: , , ,

Pantun Kiasan

Posted in Pantun on October 16th, 2008 by bayan

Tikar pucuk, tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Buah bacang masak serangkai,
burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.

Tebang gelam tebang kenanga,
Batangnya gelam menimpa gedung;
Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.

Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh dilangit,
Kilat memancar hujan tak lalu.

Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pula cicak mengkarung.

Air surut memungut bayam,
Sayur diisi ke dalam kantung;
Jangan diikuti resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.

Anak punai, anak merebah,
Hinggap ditonggak mencari sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Inikah pula hatinya orang.

Rotan siput rotan berlengkar,
Anak itik patah kakinya;
Hujan ribut gunung terbakar,
Embun setitik padam apinya.

Tags: ,

Pantun Melayu Hebat!

Posted in Pantun on October 14th, 2008 by bayan

Pantun Melayu hebat! Di Dalamnya terkandung pelbagai nilai, jatidiri, pemikiran, akal dan budi masyarakat yang mencipta pantun tersebut.

Bak kata Pak Tenas Effendy, budayawan tersohor dari Riau, bahawasanya pantun itu;

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat pakaian adat;
Untuk apa orang berpantun,
Untuk memberi petuah amanat.

Apa guna daun kayu,
Untuk tempat orang berteduh;
Apa guna pantun Melayu,
Untuk tempat mencari suluh.

Dalam pantun ada ilmu, penuntun, petunjuk, pengajar, pesan, adat, amanah, dakwah, agama, kias ibarat, teladan dan contoh. Dalam pantun juga ada senda gurau, sindir menyindir, kasih sayang, dan sebagainya.

Pantun adalah lingkungan hidup masyarakat Melayu. kenali Melayu dengan memahami pantunnya.

*Rujukan : Pantun Nasehat, Tenas effendy, 2005. Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, Yogyakarta.

Jelajahi dunia Melayu melalui persuratannya.

Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional –“Pantun, Syair, Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu”. 24 - 25 Nov 2008 di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hubungi Encik Saifullizan Yahaya/ Musazliza Mustan Shir. 03-21482480.

Tags: , ,

Raja Ali Haji (1809 - 1870)

Posted in Tokoh on October 12th, 2008 by bayan

Syarahan Raja Ali Haji yang dilaksanakan saban tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merupakan satu usaha yang baik. Melalui syarahan Raja Ali Haji ini, pelbagai tokoh akan diundang bagi menyampaikan syarahan ilmiah kepada umum.

Mengapa Syarahan Raja Ali Haji?

Nama Raja Ali Haji dipilih kerana menghormati cendekiawan Melayu silam ini, yang memberi banyak sumbangan terhadap bidang bahasa, Persuratan dan persejarahan Melayu.

Siapa Raja Ali Haji?

Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Penyengat, sebuah pulau kecil di Riau yang ketika itu menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu. Sebagai putera daripada golongan bangsawan Riau, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan Johor-Riau.

Beliau mempunyai pengetahuan luas tentang Islam dan ilmu pentadbiran. Juga terkenal dalam bidang agama, bahasa, sastera, sejarah dan undang-undang.

Dalam bidang bahasa beliau telah menghasilkan dua buah karya penting dalam perkembangan bahasa Melayu iaitu kitab Bustanul-Katibin (1857), dan Kitab pengetahuan Bahasa (1859).

Beliau juga melahirkan karya dalam bidang lain seperti sejarah. Dalam bidang sejarah, beliau dianggap sebagai ‘pencatat sejarah Nusantara pertama’ dengan menghasilkan buku Salasilah Melayu dan Bugis dan Tuhfat al-Nafis yang merupakan antara sumber terpenting bagi searah Melayu.

Karya sastera beliau seperti syair keagamaan turut disebut sehingga kini seperti Syair Jatuhnya Negeri Johor, Syair Gurindam Dua Belas, Syair Taman Pertama dan banyak lagi. Selain itu beliau turut meghasilkan beberapa buah buku yang berkaitan undang-undang.

Maklumat lanjut boleh rujuk di sini :

? Ali Haji dari Lingga ke Riau

? Sejarawan Melayu pertama

? Biografi Raja Ali Haji

Tags: , ,