Salam Perempuan Dari Penjara
Saya dalam usaha menulis puisi pelbagai tema. bahan bacaan yang saya pilih tentunya buku-buku puisi penulis dan penyair yang mapan seperti zurinah Hassan, Lim Swee Tin, Rahman Shaari, Amir Hamzah, Chairil Anwar dan beberapa penulis puisi lain yang baru dan lama.
Puisi prosaik amat saya gemari. Mungkin kerana puisi jenis ini mudah difahami walaupun punya konotasi yang pelbagai. Selain prosaik, terdapat beberapa jenis puisi yang lain yang sering digunapakai oleh penulis puisi di negara ini mahupun di luar negara.
Saya punya sebuah buku lama yang dibeli semasa menuntut di universiti dahulu. Tajuknya, “Bila Kita Berbicara” - Antologi Puisi Anggota keluarga Universiti Malaya. Himpunan puisi-puisi Obeidellah Haji Omar, Jihady Abadi, Nik A. Rashid, A. Wahab Ali, Goh Then Chye, Raja Mukhtaruddin Dain, Dharmawijaya, Abdullah Tahir, A.M. Thani, Zurinah Hassan, dan ramai lagi.
Saya terpesona dengan sajak Zurinah Hassan yang bertajuk Salam Perempuan Dari Penjara.
Seorang Zurinah di kamar saudara-saudara perempuannya
Ia tidak berani keluar lagi
Ke padang yang melambainya
di sini ia biasa memiliki apa sahaja
kecuali dirinya sendiri
Ia mahu berkata
tetapi tidak punya suara
kerana bahasa seorang wanita
telah menjadi merbahaya
Lalu ditawarkan puisi-puisi sumbang
dari kurungan
terlalu banyak yang minta disempurnakan
sebelum angin petang turun
meleraikan mawar di meja
sebelumbayang-bayang terakhir
berlalu dari jendela
sebelum senja menyuramkan
garis-garis di kaca
garis-garis di muka
Ia dan saudara-saudara perempuannya
dalam perarakan menuju hari mati
sedang ketakutan sudah lama
membunuh mereka.
Puisi ini memberi idea baru dalam fikiran saya dan bercadang mahu menumpahkannya dalam bentuk puisi juga. Jadinya, saya akan dituduh mencuri idea, atau ini sekadar proses interteks?
Tags: puisi, zurinah hassan