Archive for August, 2009

Pantun Agama

Posted in Pantun on August 20th, 2009 by bayan

Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di jirat paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat dipintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.

Dipetik : Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti,1985.

Tags: ,

Pantun Nasihat

Posted in Pantun on August 13th, 2009 by bayan

Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa papan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbal jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

Pulau di balik Puali Gosong,
Pandang di Jawa diranggungkan;
Jangan kata terdorong-dorong,
Badan dan nyawa menanggungkan.

Cik Embung orang Melaka,
Tanam peria tepi pantai;
Jangan sombong tuan berkata,
Adakah buaya menolak bangkai?

Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah,
Kelak terbang ke bunga lain.

Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Jikalau berdagang di rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

Petikan pantun : Puisi Melayu Tradisi, Mohd Yusof Md. Nor dan dr Abdul Rahman Kaeh. Fajar Bakti 1985.

Tags: , ,

Menjelang 75 Tahun A. Samad Said

Posted in umum on August 8th, 2009 by bayan

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan Majlis Penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009 bertempat di DBP, Kuala Lumpur. Majlis ini dianjurkan bagi mengenang dan menghargai karya serta sumbangan Sasterawan Negara Keempat (1986) ini membangunkan bidang sastera kebangsaan, selain bertujuan meraikan menjelangnya 75 tahun usia beliau pada 9 April 2010.

Majlis penghargaan ini akan diadakan dalam dua acara, iaitu “Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009 bermula jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang di bangunan lama DBP. Bengkel ini akan dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman seperti Nam Ron (bengkel seni pentas), Sharifah Maswari Syed Bakar & Drew Harris (bengkel seni tampak), dan Taja Meet Uncle Hussain (bengkel seni muzik).

Hasil bengkel tersebut akan dipersembahkan di kemuncak acara “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said dan Pelancaran Buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map” (terjemahan buku Cinta Fansuri dan Balada Hilang Petang) bermula jam 8.00 malam di Auditorium DBP. Selain persembahan tersebut, terdapat beberapa persembahan kebudayaan lain antaranya Nisah Haron yang memulakan acara dengan menceritakan “A. Samad Said yang Saya Kenali”. Penggiat sastera yang turut tampil membacakan dan menyanyikan lagu puisi adalah Prof. Rahman Shaari, Shukri Abdullah, Taheerah Rosheena Mohamed, Zurinah Hassan, Raja Rajeswari Seetha Raman, Dr. Chew Fong Pang, Dr. Ahmad Razali, Dr. Victor Pogadev, Seri Amalina Mohd Khair, Saifullizan Yahya, Malim Ghozali PK, SM Zakir, dan Datuk (Dr.) A. Samad Said sendiri.

Tags: , , , ,

Malam Baca Puisi PENA

Posted in umum on August 6th, 2009 by bayan

MAJLIS BACA PUISI DI RUMAH PENA, JALAN DBP, PADA 7 OGOS, JAM 8 MALAM.

JEMPUT HADIR SEMUA SALING BERTUKAR ILMU DAN MARTABATKAN BAHASA MELAYU.

Tags: ,