Archive for the 'Peribahasa' Category

Jati Diri Peria

Posted in Peribahasa on December 11th, 2008 by bayan

Adapun buah peria itu, kalau ditanam di atas batas sakar, dan dibaja dengan madu, lagi disiram dengan manisan, atau diletakkan di atas tebu sekalipun, apabila masak pahit juga.

Inilah perumpamaan yang paling panjang pernah saya temui. Perumpamaan ini menarik dan kena dengan situasi semasa. Tentang jati diri dan nilai sesebuah bangsa.

Secara jelas, pencipta perumpamaan ini mengambil analogi alam iaitu buah peria yang memang diketahui sifatnya dan rasanya yang pahit. Saya tidak pasti samaada beliau telah membuat ujikaji dengan “menanam peria di atas batas sakar, dan dibaja dengan madu, lagi disiram dengan manisan, atau diletakkan di atas tebu” untuk membuktikan bahasa buah peria takkan berubah sifatnya dan rasanya walaupun dicuba dengan pelbagai cara.

Sebenarnya perumpamaan di atas di tafsirkan kepada manusia yang berlaku buruk atau jahat yang disamakan dengan rasa pahit peria itu. Makna asal perumpamaan ini ialah “orang jahat yang tidak dapat diperbaik kelakuannya”.

Namun, saya berpendapat persepsi itu (orang jahat tak akan berubah jadi baik) amat keterlaluan dan bernada prejudis.

Menyamakan peria dengan jati diri sesuatu bangsa amat tepat. Walau apapun cara digunakan untuk memaniskan peria, tidak akan berjaya kerana secara lahirian dan penciptaannya peria memang pahit dan akan pahit sampai bila-bila kecuali dengan izin Tuhan ia akan jadi manis. Wallahualam.

Perumpamaan ini yang lebih suka saya maksudkan dengan keutuhan jatidiri sesuatu bangsa yang sentiasa ingat nilai bangsanya. Segala cabaran dan pengaruh globalisasi dari aspek fizikal dan mental tidak akan mudah menyerap jika kita tahu fitrah diri.

Khasiat peria

Tags: , , ,

Lesung Mencari Alu (Antan)

Posted in Peribahasa on September 26th, 2007 by bayan

Lesung mencari alu (antan) → perempuan mencari lelaki.

Peribahasa ini memberi makna seeorang wanita atau perempuan yang mencari pasangan atau ‘mengejar-ngejar’ seorang lelaki. Pada zaman dahulu perbuatan ini memalukan dan janggal dalam masyarakat. Perempuan seperti ini dianggap tidak mempunyai nilai ‘malu’ dan dilabel sebagai perempuan ‘tidak baik’.

Namun, pada zaman sekarang, perbuatan ‘lesung mencari alu’ sudah dianggap biasa dan tidak memalukan. Jodoh bukan sahaja boleh dicari oleh lelaki tetapi perempuan juga berhak mencari jodohnya sendiri dengan memilih lelaki yang diingini. Malahan, pada zaman nabi, Siti Khatijah yang merisik dan meminang nabi Muhammad s.a.w.

Walau bagaimanapun, jika diteliti, mengapa orang-orang lama mencipta peribahasa begini? Tujuannya adalah untuk memelihara maruah dan diri kaum wanita yang harus mempunyai nilai ‘malu’ yang tinggi sesuai dengan penciptaan wanita yang lemah lembut.Wanita yang terpelihara dengan sifat ‘malu’ akan mendidik jiwa menjadi wanita yang tahu menjaga maruah diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Tidak ada salahnya jika kita menggunakan peribahasa lama ini sebagai pendinding untuk memelihara diri dari perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah kita sendiri.