Archive for the 'Puisi Klasik' Category

Pantun Agama

Posted in Pantun on August 20th, 2009 by bayan

Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di jirat paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat dipintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.

Dipetik : Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti,1985.

Tags: ,

Pantun Nasihat

Posted in Pantun on August 13th, 2009 by bayan

Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa papan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbal jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

Pulau di balik Puali Gosong,
Pandang di Jawa diranggungkan;
Jangan kata terdorong-dorong,
Badan dan nyawa menanggungkan.

Cik Embung orang Melaka,
Tanam peria tepi pantai;
Jangan sombong tuan berkata,
Adakah buaya menolak bangkai?

Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah,
Kelak terbang ke bunga lain.

Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Jikalau berdagang di rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

Petikan pantun : Puisi Melayu Tradisi, Mohd Yusof Md. Nor dan dr Abdul Rahman Kaeh. Fajar Bakti 1985.

Tags: , ,

Teromba Perpatih

Posted in Teromba on May 4th, 2009 by bayan

Adopun awal tatkalo maso dulu
naik di ateh bukit bintang penjaring
berkecalang pelantak bosi
kemuntong membilang tungku
penyongek di ateh
timbal jalan simpang ompek
selilit Pulau Perca
selembang Tanah Melayu
se alam Minangkabau
se alam juo yang terbuko

air segantang selubok
selonyap bunyi malam
kok gagak dah jadi hitam
kok bangau dah jadi putih

adat tak lapuk dek hujan
tak lokang dek paneh
tak kuning dek kunyit
tak lomak dek santan
tak haus dek maso

kok dibasuh berhabis air
kok dikikis berhabis bosi

adat putih bak kapeh
hukum lombut bak air
kok panjang dikorek
kok bocor ditampal
kok tiris dibotul
kok tojun dari langit
samo-samo kita tampung
kok memancut dari bumi
samo-samo kito pijakkan
kok datang dari dopan
samo-samo kito hadang
kok datang dari belakang
samo-samo kito hambek

sebukit samo didaki
selurah samo kito turuni
ke laut samo kito ronangi

Penakik pisau seraut
ambil galah batang lentubung
seludang jadikan nyiru
nan setitik jadikan laut
nan sekopal jadikan gunung

alam terkombang jadikan guru

kok nak tahu tingginya gunung
tanyo pado onggang
kok nak tahu dalamnya lubok
tanyo pado memorang
kok nak tahu lebarnya pantai
tanyo pado seluang
kok nak tahu tobalnya hutan
tanyo pado pak bolang
kok nak tahu lebarnyo padang
tanyo pado belalang

kok nak tahu hebatnyo adat?

totak buluh dipilih-pilih
buluh ditarik jangan songsang

sungguh hebat adat perpatih
bagai bulan dipagar bintang

walaupun rumput mati terlapah
akarnyo tidak mahu tonggolam
walaupun laut menjadi marah
semangat beradat janganlah padam

kalau mencari pokok berbuah
pucuk lobek dahan berdaun
kalau mencari bangso bertuah
duduk beradat togak bersantun

muko podang belakang podang
podang berhulu gading gajah

esa hilang duo terbilang
pantang kito berpaling tadah

Dipetik dari sini

Nukilan : Prof Madya Datuk Wira Dr Mohd Rosli Saludin, Pensyarah UPSI Tanjung Malim, dipersembahkan pada khalayak sewaktu Istiadat Pengurniaan Gelaran Pusaka Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz pada 22/2/2009 di Istana Seri Menanti.

Teromba merupakan ungkapan berirama yang kelazimannya mengenai adat sebagai panduan atau amalan adat sesuatu masyarakat. Ia merupakan sejenis puisi bebas yang mungkin mempunyai bentuk lain seperti pantun, syair, rubai dan talibun tetapi isi dan fungsinya merujuk kepada satu bidang tetap, iaitu adat. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. dan dikatakan berasal daripada masyarakat Minangkabau.

Struktur

Teromba tergolong sebagai puisi tidak terikat kepada kata perbilangan. Teromba ada yang berangkap dan ada yang tidak. Jumlah perkataan dan suku katanya dalam sebaris tidak tentu. Begitu juga dengan rima dan jedanya.

Fungsi

Bagi memberi panduan dan pengajaran mengenai cara hidup atau sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang-undang yang dibentuk.
Mengekalkan norma-norma yang tertentu di dalam masyarakat yang telah dipersetujui oleh anggota masyarakat itu sejak turun-temurun

Tags: ,

Pantun Kasih

Posted in Pantun on April 13th, 2009 by bayan


Pantun ini didengarkan oleh Puan Kalsom Azid, Bendahari PEN pada Bengkel Penulisan Puisi yang diadakan baru-baru ini.

Saya tak mahu berlesung pauh,
Lesung pauh membuang padi,
Saya tak mahu berkasih jauh,
Berkasih jauh merisaukan hati.

Kalau kita menebang jati,
Biar serpih tumbang jangan;
Kalau kita mencari ganti,
Biar lebih kurang jangan.

Buah durian dari hulu,
Pokoknya banyak di kebun Amin,
Tahukah tuan sejak dahulu,
Di dalam gula racun bermain?

Menarik bukan tatacara orang zaman dahulu menyampaikan rasa hati?

Tags:

Cacamerba

Posted in Bahasa Berirama, Puisi Klasik on March 13th, 2009 by bayan

Saya bukan pejuang bahasa. Tetapi saya mahu bahasa saya yang indah dapat bertahan sampai bila-bila.

Segalanya cacamerba kini. Semua gara-gara kuasa dan politik yang kononnya boleh selesaikan segala perkara.

Kasihan bahasa Melayu saya.

Dan masyarakat hari ini juga kebanyakannya sudah cacamerba. Yang sudah kehilangan arah berlari ke sana sini, menjerit -jerit sedangkan tidak tahu hujung pangkal.

Yang mempertahan bahasa pula begitu sungguh-sungguh. Bersedia dalam segala hal.

Bak bahasa berirama ini;

*Di mana musuh akan datang?
Mana tebing akan runtuh?
Atau kubu akan dijuang?
Atau ubat akan dijemur?
mana senapang akan diampai?
mana jamban dikincah dagang?
Atau parit sudah timbus?
Atau aur kurang bela?
Angkatan mana akan tiba?

Ya…angkatan mana akan tiba?

*dipetik daripada Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Fajar Bakti, 1996.

Tags: , , ,

Pantun Melayu

Posted in Pantun on December 31st, 2008 by bayan

Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.

Terjatuh cinta seketika dengan kebijaksanaan masyarakat Melayu zaman dahulu menghasilkan pantun yang indah ini. Sarat dengan nilai kesopanan.

Masyarakat Melayu sebenarnya lebih mencari kesalahan diri sendiri sebelum melihat kesalahan orang lain. Tanya pada diri sendiri, “apa dosa kami’ sebelum bertanya pada orang lain, “lalu tidak tegur”.

Indah kan?

Sukar benarkah menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu seperti dahulu-dahulu?

Tags: , , , ,

Malang Pak Kaduk

Posted in seloka on October 31st, 2008 by bayan

Ayuhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awang pulang kebuluran,
Ada isteri di bunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.

Tags:

Pantun Kiasan [sambungan]

Posted in Pantun on October 17th, 2008 by bayan

Raut bilah pembatang taut,
Kail berada dalam raga;
Tidak sudah seluang melaut,
Akhirnya balik ke tepi juga.

Sangkut terendak dekat beranda,
Orang papua anyam tak sudah;
Jika tiada ada berita,
Masakan tempua bersarang rendah.

Bunga geti bergulai temenung,
Di hari raya memakan tapai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.

Suasa bertahil emas berbungkal,
Tetapi intan tiada sesaga;
Kalau kail panjang sejengkal,
Usah lautan hendak diduga.

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

Hari hujan puyuh mendengut,
Mendengut mari sepanjang jalan;
Air dalam kapar tak hanyut,
Kononlah pula kemarau panjang.

Berilah saya pisau raut,
Hendak meraut bingkai tudung;
Gila apakah ikan di laut,
Mengidamkan umpan di kaki gunung.

Laksana gadis Menteri Bogor,
Bijak membilang ayam betina;
Nyawa menangis di pintu kubur,
Hendaak pulang ke dalam dunia.

Hilir berderap mudik berderap,
Patah galah di dalam perahu;
Sungguh laksana bunga dedap,
Cantik merah tidak berbau.

Rujukan : Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti, 1985.

29 Oktober - 1 November 2008, 9 pagi hingga 5 petang.
Sekolah Alam Shah, Cheras ; Sekolah Menengah Sains Selangor ; Sekolah Menengah Teknik, Cheras ; Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras.

PESTA PANTUN SIRIH BERLIPAT, PINANG BERKACIP (IPG 2008) - Saringan - separuh akhir.
Hubungi : Norimah Bajuri (03-21481232)

Tags: , , ,

Pantun Kiasan

Posted in Pantun on October 16th, 2008 by bayan

Tikar pucuk, tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Buah bacang masak serangkai,
burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.

Tebang gelam tebang kenanga,
Batangnya gelam menimpa gedung;
Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.

Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh dilangit,
Kilat memancar hujan tak lalu.

Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pula cicak mengkarung.

Air surut memungut bayam,
Sayur diisi ke dalam kantung;
Jangan diikuti resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.

Anak punai, anak merebah,
Hinggap ditonggak mencari sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Inikah pula hatinya orang.

Rotan siput rotan berlengkar,
Anak itik patah kakinya;
Hujan ribut gunung terbakar,
Embun setitik padam apinya.

Tags: ,

Pantun Melayu Hebat!

Posted in Pantun on October 14th, 2008 by bayan

Pantun Melayu hebat! Di Dalamnya terkandung pelbagai nilai, jatidiri, pemikiran, akal dan budi masyarakat yang mencipta pantun tersebut.

Bak kata Pak Tenas Effendy, budayawan tersohor dari Riau, bahawasanya pantun itu;

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat pakaian adat;
Untuk apa orang berpantun,
Untuk memberi petuah amanat.

Apa guna daun kayu,
Untuk tempat orang berteduh;
Apa guna pantun Melayu,
Untuk tempat mencari suluh.

Dalam pantun ada ilmu, penuntun, petunjuk, pengajar, pesan, adat, amanah, dakwah, agama, kias ibarat, teladan dan contoh. Dalam pantun juga ada senda gurau, sindir menyindir, kasih sayang, dan sebagainya.

Pantun adalah lingkungan hidup masyarakat Melayu. kenali Melayu dengan memahami pantunnya.

*Rujukan : Pantun Nasehat, Tenas effendy, 2005. Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, Yogyakarta.

Jelajahi dunia Melayu melalui persuratannya.

Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional –“Pantun, Syair, Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu”. 24 - 25 Nov 2008 di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hubungi Encik Saifullizan Yahaya/ Musazliza Mustan Shir. 03-21482480.

Tags: , ,