Archive for the 'Puisi Klasik' Category

Sajak Budi-Budaya-Tamadun

Posted in sajak on November 1st, 2007 by bayan

pearl.jpgSajak ini bukanlah bersifat klasik. tetapi nilai dan budaya yang terkandung di dalamnya berakar tunjang dari persoalan budaya dan agama yang semakin dipinggirkan oleh sesetengah manusia.

Sajak ini dideklemasikan semasa Majlis Apresiasi 50 tahun Kemerdekaan dan mendapat perhatian kerana ia dinukilkan sendiri oleh deklematornya, YB Datuk Hj. Mohd Nakhaie Hj. Ahmad, Yang Dipertua YADIM dan menjadi juara deklemasi sajak bagi kategori ketua pengarah agensi Islam.

 

TAPI AKU MASIH LAGI TERMANGU…..

Oleh Datuk Haji Mohd. Nakhaie Haji Ahmad

 

Lima puluh musim berlalu

Sedar-sedar kita telah dewasa

Telah punya tanah sendiri yang kita miliki

Tiada lagi tergadai di tangan orang

 

Di atas tanah bertuah peninggalan nenek moyang

Kita bangunkan pencakar langit menjulang awan

Lebuhraya memendek perjalanan

Keseluruh penjuru tanah pusaka

 

Kita bangunkan Putrajaya

Dan puluhan kotaraya

Anak-anak ke menara gading tanpa lagi merentas benua

 

 

Sinar ilmu menerangi perjalanan

Dan suara lantang kita

Bergema  di alam buana

 

Lalu kita bangga menjadi anak Malaysia

 

Di mana-mana orang memuji nama Malaysia

Idola dunia ketiga

Dunia Islam menjulang harapan

Setinggi awan menanti kebangkitan kita

Malaysia gah di serata dunia

 

Tetapi sesuatu berlaku tanpa terduga

Menara moral tersungkur

Dirempuh taufan durjana

Lebuhraya budaya terbelah diranap gempa

Musyawarah hanya pada nama

Menjadi permainan orang kaya

Digelanggang politik wang dan sogokan yang teruja

Suara rakyat yang menentu masa hadapan tanah pusaka

Diniaga di meja snooker

 

Lima musim berlalu

Aku berpijak di tanah pusaka

Yang kaya harta, yang memiliki segala

Tapi aku masih termangu.

 

 

SEBIJI MUTIARA

Oleh: Datuk Haji Mohd. Nakhaie Haji Ahmad

 

Sebiji mutiara bernama perlembagaan

Ditatah intan berlian, dipapah para pahlawan

Terukir pada mahkota raja

Lambang kedaulatan bangsa

 

Tersurat pada tulisan

Bahawa Islam mercu tanda Negara

Tersirat pada pengertian

Bahawa bahasa jiwa bangsa

Terlukis pada harapan

Melayu akan bangkit semula

 

Hasil jerih pejuang bangsa

Dan pahlawan gugur dipersada

Kita ukir kebahagiaan di wajah duka

Kita bina mahligai dikota raya

Kita gelak ketawa

Berhibur sehingga leka

 

Mutiara negara sedang dirungkai

Dan agama-agama menjadi rata

Tiada beza semuanya sama belaka

Dan hanya jalan-jalan lain ke syurga

 

Kita tiada lagi punya bahasa

Kita tiada lagi mampu mengungkap kata

Bahawa Melayu tak kan hilang di dunia

 

Kerana yang menentukan bukan kita

Bukan lagi akal bicara bijaksana

Tetapi harta

 

Mutiara lambang kedaulatan bangsa

Sedang dirobek-robek wataknya

Sehingga Melayu menjadi kerdil

Di bumi pusaka

Yang bukan lagi hanya milik kita

Ghazal

Posted in ghazal on October 25th, 2007 by bayan

Kekasihku seperti nyawa pun adalah terkasih dan mulia juga,

Dan nyawaku pun, mana dari nyawa itu jauh ia juga;

Jika seribu tahun lamanya pun hidup ada sia-sia juga.

Hanya jika pada nyawa itu hampir dengan sedia suka juga,

Nyawa itu yang menghidupkan senantiasa nyawa manusia juga,

Dan menghilangkan cintanya pun itu kekasih yang setia juga;

kekasihku itu yang mengenal hatiku dengan rahsia juga,

bukhari yang ada serta nyawa itu ialah berbahagia juga.

 

Pantun Jenaka

Posted in Pantun on October 4th, 2007 by bayan

Pisau seraut dua tiga,
Letak di peti di dalam perahu,
Dalam laut boleh di duga,
Dalam hati siapa tahu.
 
Rama-rama si kumbang jati,
Khatib Endah pulang berkuda,
Patah tumbuh hilang berganti,
Pusaka lama begitu juga.
 
Anak napuh mati terpancung,
Ambil matanya dua-dua,
Biar disepuh emas lancung,
Kilat tenbaga tampak jua.
 
Ayam sabung jangan dipaut,
Jika ditambat kalah laganya,
Asam di gunung ikan di laut,
Dalam belanga bertemu jua.
 
Terkelip api di atas gunung,
Orang memerun atas balai,
Maksud hati memeluk gunung,
Apa daya tangan tak sampai.
 
Betapa melati takkan luruh,
Rindu menanti bunga culan,
Betapa hati takkan rusuh,
Ibu mati bapa berjalan.
 
Pokok manggis pokok bacang,
Ketiga dengan pohon lulita,
Duduk menangis abang pincang,
Katanya jalan tidak rata.
 
Orang Sekak pergi ke Bali,
Membawa pelita semuanya,
Berbisik pekak dengan tuli,
Tertawa si buta melihatnya.
 
Menggegar batang limau,
Terikat lembing dekat kendil,
gementar tulang harimau,
melihat kambing menyandang bedil.
 
Anak bakau di rumpun salak,
Patah taruknya ditimpa genta,
Riuh kerbau tergelak-gelak,
Melihat beruk berkaca mata.
 
Ucaang buruk tak bertali,
Kian ke mari tergantung-gantung,
Bujang buruk tak berbini,
Kian ke mari meraung-raung.
 

Pantun Kanak-Kanak : Teka Teki

Posted in Pantun on October 3rd, 2007 by bayan

Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang jemurkan pala,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa ekor di kepala? → gajah
 
Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang sukatkan padi,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa bertanduk di kaki. → ayam jantan
 
Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang sukatkan pulut,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa tanduk di mulut. → nyamuk
 
Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah Selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka. → ikan pari
 
Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan,
Cubalah cari wahai saudara,
makin diisi makin ringan. → belon
 
Hari-hari ke rumah Cik Hitam,
Melihat orang memotong tebu,
Apa binatang darahnya hitam,
Janggut delapan tulangnya satu. → sotong
 
Bukan kerang atau siput,
berkaki bertangan bukannya kompot,
Terkelip-kelip duduk terseliput,
Merayap sepanjang di paya di rumput. → ?
 
Berdengung bukannya kumbang,
Berbelalai bukannya gajah,
Kelam kabut saja terbang,
Hampir kepada kaum bernyawa. → lebah/penyengat/lalat
 
Diukur dijangka-jangka,
Burung merak burung angkasa,
Dengar tuan saya meneka,
Layang-layang gagah perkasa. → kapal terbang
 
Pak Pong Pak Mustafa,
Encik Dollah di rumahnya,
diadun tepung dengan kelapa,
Gula Jawa di tengahnya. → kuih melaka/ lompang
 
Kalau tuan bawa keladi,
Bawa juga sipucuk rebung,
Kalau tuan bijak bestari,
Apa binatang tanduk di hidung. → badak sumbu
 
Kalau tuan muda teruna,
Pakai seluar dengan gayanya,
Kalau tuan bijak laksana,
Biji di luar apa buahnya. → buah gajus
 
Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya si gula batu,
Kalau tuan orang yang pandai,
Apa binatang tulangnya satu. → sotong
 
Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu,
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu? → mayat/jenazah
 
Ambil betik potongkan pisau,
Buah masak pokoknya rendah,
Kecil-kecil berbaju hijau,
Sudah besar berbaju merah. → cili api/lada besar
 
Ada sebiji roda pedati
Bentuknya bulat daripada besi
Bila bermain diikat sekuat hati
Dilempar hidup dipegang mati? → gasing
 
Buah budi bedara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai? → buah melaka, buah hati
 
Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya?
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya? → kilat di langit
 
Budak-budak bermain batu
Batu dikira satu persatu
Badannya lurus bermata satu
Ekornya tajam apakah itu? → jarum
 
Jika tuan membeli tikar
Tikar anyaman dari mengkuang
Kalau tuan bijak pintar
Ular apa membelit pinggang? → tali pinggang
 
Pokoknya bulat dan juga rendang
Masam dan hijau ketika muda
Buahnya berbentuk seperti bintang
Sudah masak, kuninglah ia. → belimbing
 
Mak Minah menanak minyak
Kemenyan dibakar dengan setanggi
Dua peha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi? → tangga
 
Orang bekerja diberikan upah
Hidangan disaji dalam talam
Gajah putih ditengah rumah
Layar terkembang di waktu malam? → kelambu
 
Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Jika tuan orang yang pandai
Benda apakah makannya dua cara? → gergaji
 
Jika ke kedai pergi berbelanja
Belikan saya sudu dan senduk
Jika pandai katakan ia
Semakin berisi semakin menunduk? → padi
 
Kalau tuan pakai lencana
Pakailah songkok di atas kepala
Kalau Tuan bijak laksana
Binatang apakah tiada kepala? → ketam
 
Pisau lipat dimainnya kera
Tangannya luka lalu terjun
Makan kuat tidak terkira
Kenyangnya tidak tahi bertimbun? → api
 
Minah ketawa terjerit-jerit
Melihat koyak pada seluar
Orang putih duduk sederet
Pagar di dalam tebing di luar? → gigi
 
Tuan puteri belajar menari
Tari diajar oleh Pak Harun
Kalau Tuan bijak bestari
Apa yang naik tak pernah turun? → umur
 
Buah cermai di dalam lubang,
tepung digaul minyak sapi,
Anaknya ramai ibunya seorang,
Bila digesel berapi-api? → mancis
 
Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun-temurun,
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun? → payung
 
Mari kita makan ke kebun,
Bawa guni isikan padi,
Mari kita berlawan pantun,
Bawa menyanyi menyukakan hati.
 
Sorong papan tarik papan,
Papan kemudi dalam perahu,
Suruh makan saya makan,
Suruh menyanyi saya tak tahu.
 
Tanam ubi tanam keledek,
Keladi birah di tepi tangga,
Kita menyanyi adik beradik,
Kalau salah tidak mengapa.
 
Gugur, bacang gugur!
Jangan timpa putik pauh,
Tidur bujang tidur,
Jangan ingat adik yang jauh.
 
Basah padi ladang.
Basah dalam air,
Susah hati abang,
Adik hilang balik tabir.
 
Ikan siakap ikan senohong,
Ikan gelama ikan duri,
Kalau orang bercakap bohong,
Lama-lama dia mencuri.
 
dipetik : Puisi Melayu Tradisi

Pantun Kanak-Kanak

Posted in Pantun on October 3rd, 2007 by bayan

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.
 
Dulu parang sekarang besi,
Dulu sayang sekarang benci.
Gendang gendut tali kecapi,
kenyang perut senang hati .
 
Pinggan tak retak nasi tak dingin,
Tuan tak hendak saya tak ingin.
 
Siakap senohong gelama ikan duri,
berckap bohong lama-lama mencuri.
 
Kata dulang paku serpih,
Kata orang dia yang lebih.
 
Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.
 
Hujung bendul dalam semak,
Kerbau mandul banyak lemak.
 
Tabtibau puyuh padang,
Hilang pisau berganti parang.
 
Ke bilik ke dapur gulai asam pedas,
Itik bertelur ayam menetas.
 
Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan binasa.
 
Kayu lurus dalam ladang,
Kerbau kurus banyak tulang.
 
dipetik : Puisi Melayu Tradisi

Puisi Melayu Tradisi

Posted in Puisi Klasik on September 28th, 2007 by bayan

Buku-buku mengenai puisi Melayu tradisi amat kurang di pasaran. Jika zaman dahulu, teknologi percetakan amat terhad. Setiap buku yang dihasilkan adalah menggunakan tulisan tangan. Puisi Melayu tradisi disampaikan melalui lisan dari mulut ke mulut. Peralihan zaman menyaksikan teknologi percetakan dan penerbitan begitu maju. namun, bahan-bahan yang memperkaya khazanah Melayu ini semakin pupus kerana :

  • Orang-orang lama yang mahir berpantun seloka telah meninggal dunia dan membawa khazanah warisan itu bersama tanpa sempat menurunkan kepada generasi mudanya.
  • Penurunan warisan menggunakan kaedah lisan sebegini tidak efektif untuk dibukukan sesegera yang boleh kerana lisan boleh mengubah sesuatu pantun mengikut peredaran zaman dan juda tidak semua orang boleh mengingati apa yang telah diperkatakan secara spontan itu.
  • Jika di bukukan, tidak ramai yang akan membacanya akibat pemilihan kata yang semakin tidak diminati dan tidak relevan dengan keadaan semasa, walaupun nilai puisi lama ini sangat besar sumbangannya ke arah pembangunan masyarakat.

Sebetulnya, puisi tradisi merupakan warisan leluhur kita, yang lahir dari daya kreatif, berdasarkan pengalaman, pemikiran dan tanggapan orang tua-tua.

moonpsd.jpg

Puisi yang beraneka ragam ini tercipta melalui adunan suasana masyarakat dan dilatari kekayaan lam semula jadi. Puisi Melayu Tradisi terdiri daripada :

Struktur Terikat :

  1. Pantun → Pantun kanak-kanak, jenaka, kiasan, nasihat, agama, kasih sayang dan sebagainya. Mempunyai kerat tertentu seperti pantun dua kerat, empat, enam, lapan, sepuluh, dua belas dan pantun enam belas kerat, pantun tiga puluh serta pantun berkait.
  2. Syair → Juga dikenali sebagai ruba’i (dalam puisi Hamzah Fansuri). Terdiri daripada jenis syair sejarah, syair roman, syair simbolik, syair agama, nasihat dan syir teka-teki.

Struktur Bebas ; Bahasa berirama :

  1. Gurindam → Memberi pengajaran kepada masyarkat
  2. Seloka → Mempunyai unsur-unsur jenaka atau gurau senda, (boleh memasukkan unsur-unsur pantun, bidalan atau pepatah)
  3. Teromba → Biasanya menceritakan tentang perbilangan adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Menyisipkan pantun, gurindam, peribahasa dalam seuntai teromba.
  4. Rejang → Isi kandungannya berkaitan dengan ramalan bintang (astrologi). Pandangan tentang nasib baik atau buruk ini dikaitkan dengaan perkiraan waktu. Tidak ramai yang tahu tentang rejang kecuali alim ulamak yang menggunakannya sebagai alat untuk menyampaikan ajaran mereka.
  5. Mantera → Juga dikenali sebagai jampi, serapah, sembur, puja, cuca, seru, kemat dan lain-lain. Isinya merujuk hal-hal magis, perubatan dan perbomohan.

Puisi saduran Arab-Parsi :

  1. Bayt → sama sepeti syair
  2. Nazam → dikaitkan dengan lagu atau zikir. Isinya lebih kepada hal ajaran agama. Penyampaiannya selalu dalam bentuk lagu atau nasyid.
  3. Rubai
  4. Kit’ah
  5. Masnawi
  6. Ghazal

Rujukan : Puisi Melayu Tradisi, Mohd Yusof Md. Nor dan dr. Abdul Rahman Kaeh, Penerbitan fajar Bakti, 1985.