Menjelang 75 Tahun A. Samad Said
Posted in umum on August 8th, 2009 by bayanInstitut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan Majlis Penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009 bertempat di DBP, Kuala Lumpur. Majlis ini dianjurkan bagi mengenang dan menghargai karya serta sumbangan Sasterawan Negara Keempat (1986) ini membangunkan bidang sastera kebangsaan, selain bertujuan meraikan menjelangnya 75 tahun usia beliau pada 9 April 2010.
Majlis penghargaan ini akan diadakan dalam dua acara, iaitu “Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009 bermula jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang di bangunan lama DBP. Bengkel ini akan dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman seperti Nam Ron (bengkel seni pentas), Sharifah Maswari Syed Bakar & Drew Harris (bengkel seni tampak), dan Taja Meet Uncle Hussain (bengkel seni muzik).
Hasil bengkel tersebut akan dipersembahkan di kemuncak acara “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said dan Pelancaran Buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map” (terjemahan buku Cinta Fansuri dan Balada Hilang Petang) bermula jam 8.00 malam di Auditorium DBP. Selain persembahan tersebut, terdapat beberapa persembahan kebudayaan lain antaranya Nisah Haron yang memulakan acara dengan menceritakan “A. Samad Said yang Saya Kenali”. Penggiat sastera yang turut tampil membacakan dan menyanyikan lagu puisi adalah Prof. Rahman Shaari, Shukri Abdullah, Taheerah Rosheena Mohamed, Zurinah Hassan, Raja Rajeswari Seetha Raman, Dr. Chew Fong Pang, Dr. Ahmad Razali, Dr. Victor Pogadev, Seri Amalina Mohd Khair, Saifullizan Yahya, Malim Ghozali PK, SM Zakir, dan Datuk (Dr.) A. Samad Said sendiri.
