Cacamerba

Posted in Bahasa Berirama, Puisi Klasik on March 13th, 2009 by bayan

Saya bukan pejuang bahasa. Tetapi saya mahu bahasa saya yang indah dapat bertahan sampai bila-bila.

Segalanya cacamerba kini. Semua gara-gara kuasa dan politik yang kononnya boleh selesaikan segala perkara.

Kasihan bahasa Melayu saya.

Dan masyarakat hari ini juga kebanyakannya sudah cacamerba. Yang sudah kehilangan arah berlari ke sana sini, menjerit -jerit sedangkan tidak tahu hujung pangkal.

Yang mempertahan bahasa pula begitu sungguh-sungguh. Bersedia dalam segala hal.

Bak bahasa berirama ini;

*Di mana musuh akan datang?
Mana tebing akan runtuh?
Atau kubu akan dijuang?
Atau ubat akan dijemur?
mana senapang akan diampai?
mana jamban dikincah dagang?
Atau parit sudah timbus?
Atau aur kurang bela?
Angkatan mana akan tiba?

Ya…angkatan mana akan tiba?

*dipetik daripada Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Fajar Bakti, 1996.

Tags: , , ,

Pantun Melayu

Posted in Pantun on December 31st, 2008 by bayan

Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.

Terjatuh cinta seketika dengan kebijaksanaan masyarakat Melayu zaman dahulu menghasilkan pantun yang indah ini. Sarat dengan nilai kesopanan.

Masyarakat Melayu sebenarnya lebih mencari kesalahan diri sendiri sebelum melihat kesalahan orang lain. Tanya pada diri sendiri, “apa dosa kami’ sebelum bertanya pada orang lain, “lalu tidak tegur”.

Indah kan?

Sukar benarkah menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu seperti dahulu-dahulu?

Tags: , , , ,