Syair Bermelodi?
Posted in umum on November 27th, 2008 by bayanSeminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional telah berlangsung dua hari lepas. Saya menghadirinya. Banyak isu puisi dibentangkan.
Saya tertarik dengan pembentangan kajian yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Hashim, Prof. Madya Dr. Indirawati Zahid dan Prof. Madya Dr. Zahir Ahmad. Mereka memperkatakan tentang Penemuan Repertoir Melodi Syair Melayu : Satu Paradigma Baru Dalam Pembangunan Puisi Melayu Tradisional dan Prosodi dan Syair Melayu : Perspektif Baharu dalam Pengajaran dan Pembelajaran.
Melalui kajian yang mereka lakukan di dapati pengajaran puisi berbentuk syair lebih berkesan jika disampaikan dalam bentuk melodi. Sebanyak 13 melodi dikenalpasti boleh diaplikasikan dalam menyampaikan puisi syair ini.
Antara melodi yang dikenalpasti ialah Meodi Siti Zubaidah, Melodi Dakwah, Melodi Pekan Baru, Melodi Istana, Melodi Perantau dan beberapa melodi lagi yang diperoleh melalui kembara mereka di seluruh Malaysia.
Pemakaian melodi pada bahagian pengenalan syair ini dikatakan boleh membangkitkan semangat dan mencipta kelainan agar pelajar lebih menghayati syair yang didendangkan.
Selain itu pemakaian melodi juga boleh memberi kefahaman yang lebih baik kerana melodi yang digunakan mewakili perasan sedih, gembira, pilu, semangat juang dan sebagainya.
Namun, banyak pihak terutama guru-guru menyangkal kaedah syair melodi ini kerana ia dikatakan tidak praktikal untuk pelajar sekolah. Tempoh masa pengajaran bahasa Melayu KOMSAS tidak mencukupi untuk mereka berdendang melodi dengan syair yang diajarkan.
Pelajar yang ‘exam oriented’ pula akan lebih mementingkan aspek tema, jalan cerita, jenis dan ciri pembentukan syair yang akan ditanya di dalam peperiksaan kelak. Hal-hal melodi yang boleh membangkitkan kefahaman mereka tentang keindahan dan isi kandungan syair selalunya dipandang ringan kerana hal itu tidak akan ditanyakan di dalam peperiksaan.
Selain itu, seorang guru juga berpendapat pemakaian melodi menghilangkan ciri-ciri utama syair. Jika syair dimelodikan, kita tidak dapat mengenalpasti sama ada yang didendangkan itu syair, atau puisi yang lainnya seperti gurindam, nazam dan seloka.
Saya tidak rasa hal ini mustahil diajarkan di sekolah jika kena dengan caranya. Ya, tugas guru ialah memberi kefahaman kepada pelajar agar pelajar mampu menjawab dengan baik di dalam peperiksaan. Namun, tanggungjawab memahamkan pelajar akan seni budaya bangsanya jangan sesekali diabaikan.
Jika kajian ini siap dilaksanakan, saya percaya pembelajaran syair akan lebih beerti dengan syarat ada satu tatacara pemakaian melodi ini diajarkan sepenuhnya kepada guru-guru yang akan mengajar sastera di sekolah.
Apapun, semoga syair tidak kehilangan nilai dan tidak dilupakan oleh generasi akan datang kerana ia mengandungi jatidiri dan kebijaksanaan masyarakat Melayu zaman dahulu.
