Pantun Agama

Posted in Pantun on August 20th, 2009 by bayan

Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di jirat paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat dipintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Buat serunai batang padi,
Bunyi lagu seri pualam;
Serban bukan semuanya haji,
Haji terletak pada amalan.

Tiada boleh menetak jati,
Papan di Jawa dibelah-belah;
Tiada boleh kehendak hati,
Kita di bawah perintah Allah.

Dipetik : Puisi Melayu Tradisi, Fajar Bakti,1985.

Tags: ,

Pantun Melayu Hebat!

Posted in Pantun on October 14th, 2008 by bayan

Pantun Melayu hebat! Di Dalamnya terkandung pelbagai nilai, jatidiri, pemikiran, akal dan budi masyarakat yang mencipta pantun tersebut.

Bak kata Pak Tenas Effendy, budayawan tersohor dari Riau, bahawasanya pantun itu;

Apa guna orang bertenun,
Untuk membuat pakaian adat;
Untuk apa orang berpantun,
Untuk memberi petuah amanat.

Apa guna daun kayu,
Untuk tempat orang berteduh;
Apa guna pantun Melayu,
Untuk tempat mencari suluh.

Dalam pantun ada ilmu, penuntun, petunjuk, pengajar, pesan, adat, amanah, dakwah, agama, kias ibarat, teladan dan contoh. Dalam pantun juga ada senda gurau, sindir menyindir, kasih sayang, dan sebagainya.

Pantun adalah lingkungan hidup masyarakat Melayu. kenali Melayu dengan memahami pantunnya.

*Rujukan : Pantun Nasehat, Tenas effendy, 2005. Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, Yogyakarta.

Jelajahi dunia Melayu melalui persuratannya.

Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional –“Pantun, Syair, Gurindam dan Nazam: Ketekalan Minda Melayu”. 24 - 25 Nov 2008 di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hubungi Encik Saifullizan Yahaya/ Musazliza Mustan Shir. 03-21482480.

Tags: , ,