Pantun Nasihat

Posted in Pantun on August 13th, 2009 by bayan

Tanam balik buah peria,
Buah peria mahal sekali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Ketua-ketua raja duduk,
Jangan ditimpa papan;
Diketahui ganja itu mabuk,
Apakah sebab maka dimakan?

Meninjau berpadi masak,
Batang kapas bertimbal jalan;
Hati risau dibawa gelak,
Bagai panas mengandung hujan.

Pulau di balik Puali Gosong,
Pandang di Jawa diranggungkan;
Jangan kata terdorong-dorong,
Badan dan nyawa menanggungkan.

Cik Embung orang Melaka,
Tanam peria tepi pantai;
Jangan sombong tuan berkata,
Adakah buaya menolak bangkai?

Hangus bertih berwarna merah,
Mari dituang ke dalam kain;
Suami yang letih usah dimarah,
Kelak terbang ke bunga lain.

Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.

Pisang kelat digonggong helang,
Jatuh ke lubuk Inderagiri;
Jikalau berdagang di rantau orang,
Baik-baik membawa diri.

Petikan pantun : Puisi Melayu Tradisi, Mohd Yusof Md. Nor dan dr Abdul Rahman Kaeh. Fajar Bakti 1985.

Tags: , ,

Pantun Kasih

Posted in Pantun on April 13th, 2009 by bayan


Pantun ini didengarkan oleh Puan Kalsom Azid, Bendahari PEN pada Bengkel Penulisan Puisi yang diadakan baru-baru ini.

Saya tak mahu berlesung pauh,
Lesung pauh membuang padi,
Saya tak mahu berkasih jauh,
Berkasih jauh merisaukan hati.

Kalau kita menebang jati,
Biar serpih tumbang jangan;
Kalau kita mencari ganti,
Biar lebih kurang jangan.

Buah durian dari hulu,
Pokoknya banyak di kebun Amin,
Tahukah tuan sejak dahulu,
Di dalam gula racun bermain?

Menarik bukan tatacara orang zaman dahulu menyampaikan rasa hati?

Tags: